Jenis-jenis rumah di Malaysia


Anda mungkin tertanya-tanya apa perbezaan antara apartment dan condominium? Banglo vs Villa? Apa itu SoHo? Dan lain-lain istilah yang digunakan oleh sama ada pemaju ataupun ejen hartanah di dalam iklan mereka. Penggunaan istilah yang pelbagai dan kadang kala perkataan yang sama tetapi berbeza konteks dengan negara luar menambah kekeliruan anda. Berikut merupakan beberapa istilah yang biasa digunakan bagi menunjukkan jenis rumah di Malaysia. 


1. Banglo / Villa


Banglo (rasmi: sesebuah / detached) adalah rumah yang dibina secara tunggal di atas tanah.dan mempunyai kawasan tanah di sekeliling


Banglo Zero-lot adalah konsep pembinaan banglo yang dibina betul-betul di garisan sempadan tanah berbanding membinanya di tengah-tengah kawasan tanah. Konsep ini digunakan bagi mendapatkan kawasan tanah lapang yang lebih luas.


Villa pula adalah nama 'fancy' bagi banglo yang biasanya lebih besar dan mewah dari banglo.



2. Semi-D / Cluster


Semi-D (Semi-Detached) atau rumah berkembar adalah dua buah rumah yang melekap pada dinding yang sama antara satu sama lain dan biasanya mempunyai hak pemilikan oleh individu yang berbeza. 



Cluster pula hampir sama dengan semi-D tetapi antara empat buah rumah. Dinding tepi dan belakang berkongsi dengan rumah yang lain.



3. Teres link / superlink


Rumah teres (link) boleh dikatakan rumah paling popular di Malaysia. Teres/link adalah rumah yang bersambung antara satu sama lain membentuk barisan rumah. Superlink pula ialah rumah teres versi lebih premium dan perkara yang berbeza adalah saiz yang kebiasaannya:


Teres/link - Kelebaran < 24ft

Superlink - Kelebaran > 24ft


4. Townhouse


Sebuah rumah bertingkat (biasanya 2 tingkat) yang mempunyai hak pemilikan yang berbeza antara tingkat atas dan tingkat bawah. Bawah pemilik lain, atas pemilik lain, tetapi sebuah tunggal. Tertakluk di bawah pemilikan strata.


5. Flat


Flat adalah kediaman bertingkat tinggi (high-rise) yang kebiasaannya tidak melebihi lima tingkat dan mempunyai kemudahan yang sangat minima. Tertakluk di bawah pemilikan strata.



6. Condominium/apartment


Pangsapuri (apartment) adalah kediaman high-rise yang mempunyai kemudahan yang dikongsi bersama dengan penghuni petak (unit) lain. 


Kondominium pula adalah pangsapuri versi lebih besar dan mewah. Kedua-dua pangsapuri dan kondominium tertakluk di bawah pemilikan strata.


7. Serviced apartment


Pangsapuri perkhidmatan adalah kediaman jenis pangsapuri yang dibina di atas tanah berstatus komersial. Walaupun berstatus komersial, terdapat beberapa pembangunan yang dilindungi HDA dan membolehkan kadar tarif elektrik komersial unit ini untuk ditukar kepada tarif elektrik jenis kediaman yang lebih rendah. 


8. Studio apartment


Studio apartment adalah pangsapuri dengan satu ruang hall dan satu tandas. Ruang tamu, ruang tidur, dapur dan lain-lain berkongsi satu ruang hall yang sama dan bergantung kepada kreativiti pemilik untuk menyusun atur dan boleh meletakkan pembahagi (partition) sekiranya mahu.





9. Penthouse/duplex


Penthouse adalah sebuah unit di bangunan kediaman high-rise kebiasaannya tingkat paling atas yang mengambil keseluruhan tingkat untuk satu unit sahaja. 


Duplex pula adalah unit dua tingkat di dalam bangunan kediaman high-rise, di dalam pemilikan unit yang sama. 


10. SoHo,Sofo, SoVo


Small Office Home Office (SoHo) adalah sebuah unit yang kebiasaannya seperti studio apartment tetapi boleh digunakan sebagai pejabat atau rumah dan dibina di atas tanah berstatus komersial.


Small Office Flexible Office (SoFo) dan Small Office Versatile Office (SoVo) hanya boleh digunakan sebagai pejabat.



Nota:

  • Penggunaan perkataan ‘kebiasaannya’ banyak digunakan di dalam artikel ini disebabkan tiada panduan atau peraturan tetap yang khusus dalam mendefinisikan jenis hartanah yang berkaitan.

  • Kebanyakan istilah bukanlah istilah rasmi dan berkemungkinan menjadi alat marketing ciptaan pemaju  untuk melariskan jualan mereka dengan menggunakan perkataan fancy untuk kelihatan lebih gah dan istimewa.

  • Semua bangunan bertingkat sama ada berstatus kediaman atau komersial adalah tertakluk kepada pemilikan strata.

  • Satu lagi kategori yang membezakan kumpulan hartanah adalah mengikut kos (kos rendah, kos sederhana, dll) khususnya untuk pangsapuri dan teres.