Bagi membolehkan institusi kewangan menilai status kewangan seseorang, bank perlu membuat analisis tertentu bagi menentukan tahap kemampuan peminjam untuk membuat pembayaran balik pembiayaan kewangan. Pendapatan yang tinggi tidak menjamin status kewangan peminjam itu bagus. Antara faktor yang diambil kira ialah DSR.
DSR ialah nisbah yang menunjukkan peratusan daripada pendapatan seseorang yang digunakan bagi membayar hutang. Contohnya, Amin yang bergaji RM2,000 mempunyai kereta dengan pembayaran bulanan RM1,000. Maknanya, Amin menggunakan 50% daripada gaji beliau untuk membayar hutang kereta. Jadi, formula bagi pengiraan DSR adalah seperti berikut:
DSR: ( Komitmen / Pendapatan ) x 100%
Setiap bank mempunyai kadar maksimum DSR yang dibenarkan dan penting untuk difahamkan bahawa setiap bank juga mempunyai kaedah tersendiri yang diguna pakai bagi membuat pengiraan ini.
Contoh:
Bank A
- Maksimum DSR: Gaji <RM3,500: 40%, Gaji >RM3,500: 70%
- Pendapatan yang diambil kira: Gaji bersih
- Sewaan hartanah: 20%
Bank B
- Maksimum DSR: 70%
- Pendapatan yang diambil kira: Gaji kasar
- Sewaan hartanah: 50%
Bank C
- Maksimum DSR: 60%
- Pendapatan yang diambil kira: Gaji kasar
- Sewaan hartanah: 100%
Dan lain-lain…
Contoh Pengiraan DSR
Kita gunakan cerita bagi membantu anda mudah faham sikit.
Encik Rashid merupakan seorang Pegawai Pemasaran di syarikat YTJT Sdn. Bhd. Setelah hampir 5 tahun berkhidmat di syarikat itu, pendapatan kasar beliau sudah mencapai RM7,000 sebulan. Beliau juga mempunyai 2 buah kereta, Mercedes yang digunakannya untuk ke tempat bekerja dan juga Myvi yang digunakan oleh isterinya sebagai kenderaan harian. Beliau juga sudah memiliki sebuah rumah yang didiami beliau dan keluarganya. Sekarang, beliau berhasrat untuk membeli sebuah lagi rumah untuk dibuat sebagai pelaburan yang bernilai RM560,000 dengan pembayaran bulanan RM2,000.
Dengan semua kemewahan sedia ada, adakah Encik Rashid masih mampu untuk menampung pembayaran balik bulanan bagi rumah baharu tersebut? Bagaimana nak tahu? Kita kena kira DSR beliau sama-sama.
Pendapatan: RM7,000
Mercedes: RM1,300
Myvi: RM800
Rumah semasa: RM1,500
Jumlah komitmen (hutang) sedia ada: RM3,600
Setakat ini, DSR beliau adalah = (RM3,600 / RM7,000) x 100% = 51.4%
Jumlah komitmen baharu: (RM3,600 + RM2,000) = RM5,600
Jadi, DSR baharu beliau adalah = (RM5,600 / RM7,000) x 100% = 80%
DSR 80% dilabel sebagai berisiko tinggi oleh kesemua bank. Sekiranya beliau ingin juga membeli rumah baharu, beliau perlu memilih rumah lain yang harganya lebih murah supaya maksimum DSR baharu beliau tidak melebihi kadar yang dibenarkan oleh bank. Untuk kes Encik Rashid ini, berdasarkan pengiraan DSR semasa, beliau hanya layak untuk membeli hartanah dengan bayaran bulanan RM1,300 yang menjadikan DSR beliau 70%.